NIBONG TEBAL 15 Feb. - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal akan menubuhkan pasukan pengurusan jenazah yang bertujuan memupuk kesedaran generasi muda mengenai kepentingan kaedah menguruskan jenazah dengan betul.
Ketuanya, Rashidi Zinol berkata, penubuhan pasukan itu juga bertujuan memimpin golongan muda agar sentiasa mendekati amalan fardu kifayah sekali gus mengelakkan mereka daripada terlibat dalam masalah sosial.
''Kita menyedari bahawa pengurusan jenazah yang betul kini menjadi isu kritikal apabila tidak ramai orang muda yang mengetahui kaedah yang betul untuk melakukannya.
''Jadi kita harap langkah ini dapat membimbing golongan muda supaya menjadi golongan pelapis dan perintis dalam mengendalikan pengurusan jenazah," katanya selepas merasmikan Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal di sini baru-baru ini.
Rashidi berkata, para peserta kursus akan diajar daripada aspek teori dan praktikal bermula dengan kaedah menggali liang lahad, membuat keranda selain cara memandi, mengkafan, sembahyang dan mengebumikan jenazah.
Setakat ini katanya, sambutan yang diterima daripada golongan muda amat menggalakkan apabila kursus pertama yang dianjurkan berjaya menarik 180 penyertaan walaupun pada mulanya hanya 120 nama yang didaftarkan.
''Hasil daripada program ini, kita merancang untuk menubuhkan Pasukan Pengurusan Jenazah Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal yang terdiri daripada anggota Pemuda UMNO.
''Bagi memastikan matlamat penubuhan pasukan ini secara menyeluruh, ia akan dipecahkan kepada tiga merangkumi ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Nibong Tebal iaitu Sungai Acheh, Jawi dan Sungai Bakap," tambahnya.
Buat permulaan jelas beliau, pasukan yang bakal diwujudkan akan membantu pihak pengurusan jenazah yang sudah diwujudkan di peringkat kariah masjid.
Menurut Rashidi, kursus yang sedang giat dianjurkan diharap dapat melahirkan golongan muda yang mempunyai pengetahuan mengenai kaedah pengurusan jenazah yang betul tanpa hanya bergantung kepada golongan tua untuk melakukannya.